Fenomena Ebook Sampah Dan Cara Mengatasinya

Mungkin tuan-puan yang jarang membeli ebook secara online tidak pernah terkena lagi, tetapi memang ada fenomena yang dinamakan Fenomena Ebook Sampah.

Buruk bunyinya, buruk lagi bendanya.

Apakah yang dimaksudkan Ebook Sampah?

Ia diberi jolokan ‘sampah’ kerana isi buku tersebut bukan sahaja tidak bernilai, tetapi mengurangkan nilai pembaca tadi.

Isi buku tersebut bukan sahaja tidak menepati ‘expectation’ pembaca ia malah membuatkan pembaca marah-marah, sakit hati dan juga rasa tertipu kerananya.

Perkara ini biasa berlaku kepada ebook yang dijual penuh tipu daya dan menggunakan teknik-teknik marketing yang sifatnya ‘memukau’ pembaca untuk membelinya tanpa menunjukkan langsung secara tepat apa yang pembaca akan dapat.

Daripada situasi di atas, kita boleh nampak bahawa ebook sampah majoriti dijual secara tidak beretika. Dijual menggunakan teknik yang meragukan yang membuatkan pembaca tanpa sedar membeli buku mereka walhal ebook tersebut mungkin sahaja tidak bagus untuk mereka.

Sampah kepada kita, mungkin permata buat orang lain

Akan ada yang membantah dengan mengatakan bahawa ‘sampah pada kau mungkin sahaja permata pada mereka’.

Itu betul dan benar belaka.

Maka penjual ebook tersebut haruslah berdisiplin menjual kepada mereka yang anggap ia sebagai permata. Jangan dijual kepada semua orang, khususnya mereka yang akan anggap ia sebagai sampah.

Pendek kata, fenomena eBook sampah ini turut dipengaruhi oleh teknik menjual dan niat si penjual/penulis.

Kita mungkin sahaja tidak sengaja terjual ebook yang bagus kepada orang yang salah. Akibatnya orang yang salah tadi menganggap ebook tersebut tahap sampah. Tetapi jika kita berkali-kali salah jual, ia tidak lagi menjadi perkara yang tidak sengaja. Memang niat penjual tadi mahu ‘salah jual’ ebook sampah kepada semua.

Untuk mengelakkan perkara berlaku, penulis harus benar-benar kenal siapakah pembaca yang nampak jelas nilai isi ebook kita tadi. Setelah kenal penulis harus menapis setiap bakal pembeli tadi supaya tidak tersalah jual.

Perkara ‘tersalah beli’ ini hanya berlaku pada ebook. Jarang kita dengar pembaca tersalah beli buku. Situasi ini terhad kepada ebook sahaja.

Ini kerana buku bercetak pembaca boleh pegang dan selak beberapa halaman untuk mengenalpasti nilainya sebelum dibeli. Namun tidak bagi ebook. Oleh yang demikian penulis dan penjual harus proaktif dalam memberi maklumat yang terperinci dan tepat tentang isi buku tersebut kepada pembeli. Ini akan membantu pembaca agar tidak tersalah beli ebook.

Jual eBook yang betul kepada pembaca yang betul adalah jalan keluar kepada fenomena ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *