Tidak dinafikan, membaca karya yang bagus dan pelbagai menjadikan seseorang itu lebih banyak idea dan jiwa. Apabila seorang penulis melakukannya, semakin mudah mereka mendapat idea menulis.

Kata Aan Mansyur, “Saya tidak percaya adanya writer’s block. Saya lebih percaya kepada reader’s block. Iaitu apabila saya tidak boleh menulis, bermakna saya kurang membaca.”

Saya kagum mendengar bicara penulis hebat ini di IIBF2016 petang semalam. Langsung saya percaya, ada mindset yang harus diubah – pembaca cemerlang yang tidak berhenti menekuni bahan bacaan itu sangat signifikan dalam membentuk penulis yang mahu terus menulis.

Soalnya, bagaimana aktiviti membaca boleh membantu menggiat nyalarasa seorang penulis?

Ada enam manfaat.

1. Merangsang Minat Baca

Menyediakan rekod buku yang sudah dibaca membuat kita semakin bermotivasi untuk membaca lebih banyak buku. Sebab kita mahu tambah skor dan catatan ini sebagai KPI diri.

2. Meningkatkan Penghargaan Terhadap Buku

Apabila ada rekod, kita lebih tahu jenis, kategori dan kualiti bahan bacaan yang ada dalam simpanan. Secara tidak langsung, kemampuan kita menilai buku bertambah. Kita semakin tahu menghargai, membezakan kualiti buku dan membuat perbandingan untuk rujukan sendiri.

3. Berfungsi seperti Curriculum Vitae (CV)

Seperti ruang pengalaman dalam CV, begitulah yang berlaku apabila menyediakan rekod bacaan. Melalui catatan ini, kita dapat melihat bahan bacaan yang kita suka dan jumlah yang sudah dibaca. Semakin banyak buku mengenai topik yang sama dibaca, semakin luas pengetahuan dan wawasan kita mengenai bidang berkenaan. Langsung, kita tahu kapasiti diri terhadap bidang yang sedang dikuasai.

4. Berfungsi seperti Catatan Harian

Dalam diari atau jurnal peribadi, kita merakam catatan aktiviti sehari-hari. Dalam rekod bacaan pula, kita memuatkan senarai buku yang sudah dibaca. Lebih utama, catatan ini juga termasuk senarai buku rakan-rakan yang sudah dibaca. Secara halus, kita mencipta hubungan dengan rakan yang karyanya sudah kita baca. Sebab membaca karya seseorang bermakna kita membaca fikiran dan ideanya. Dari sini, kita boleh mengenalpasti penulis yang berpotensi untuk dilamar sebagai penulis bersama.

5. Menginspirasi Dalam Memberi Tajuk Karya

Melihat senarai judul yang sudah ditulis dalam catatan, kita terinspirasi juga dalam memilih judul yang sedap dan menarik perhatian untuk karya sendiri. Menarik apabila kita boleh melakukannya dan menyelesaikan masalah dalam memilih judul karya tanpa perlu membelek judul buku di rak.

6. Mencatat Jumlah Buku Koleksi

Penulis selalunya mempunyai bahan bacaan yang banyak. Menyediakan rekod bacaan memudahkan kita menyelaras kesemuanya dan kita tahu yang mana sudah dihadam, yang mana masih beratur dalam barisan untuk dibaca.

Jadi, apa yang perlu dimuatkan dalam Rekod Bacaan?

  1. Judul buku
  2. Halaman
  3. Nama penulis
  4. Penerbit
  5. Tahun terbit
  6. Tarikh beli
  7. Harga
  8. Status bacaan

Sesudah memiliki senarai begini, automatik, kita penulis tahu kecenderungan dan minat sendiri. Jadi, kita tahu itu adalah genre yang paling sesuai untuk dijadikan nic dan fokus penulisan.