Kebanyakan penulis dan pembaca tidak mengetahui apakah peranan dan tugas seorang editor. Apa yang mereka ketahui, editor hanya bertindak sebagai penyemak tatabahasa dan ejaan untuk manuskrip mereka.

Peranan editor buku sebenarnya sangat penting dan besar dalam penerbitan. Untuk mereka yang baru mahu memulakan kerjaya dalam bidang penerbitan, ini adalah antara tugas UTAMA editorial dalam penerbitan.

Merancang

Proses perancangan di peringkat editorial adalah proses paling utama dalam penerbitan. Editor perlu merancang apakah buku yang perlu diterbitkan sesuai dengan hala tuju syarikat penerbitan. Ini bagi mengelakkan produk yang dihasilkan caca marba dan tidak sesuai dengan hala tuju syarikat. Pembaca juga mudah mengenali produk-produk yang dihasilkan.

Selepas itu, editor perlu tahu pada waktu bila buku itu sesuai diterbitkan. Adakah buku itu mengikut musim? Ataupun buku itu berdasarkan isu? Ataupun buku itu adalah buku yang ‘evergreen’? Jadual penerbitan juga perlu dirancang supaya tidak mengganggu perancangan pemasaran.

Editor juga perlu mengetahui siapa penulis yang sesuai dengan genre yang mahu dihasilkan. Kebiasaannya, seorang penulis hanya bertumpu kepada satu genre sahaja. Ini memudahkan proses penjenamaan penulis dan pemasaran.

Strategi perlaksanaan dalam menghasilkan buku juga perlu dirancang. Berapa lama masa diambil bagi menyunting manuskrip? Pada waktu bilakah cover dan layout buku dihasilkan? Bilakah buku itu akan siap dihasilkan sehingga ke pencetak?

Terakhir sekali, editor perlu juga merancang bajet penerbitan bagi sebuah buku. Pastinya anda akan mengatakan yang tugas ini adalah tugas pihak akaun. Sebenarnya editor juga perlu tahu bajet yang perlu dikeluarkan bagi menghasilkan sesebuah buku. Bermula daripada bayaran kepada ‘freelancer’, cetakan dan juga harga yang sesuai diletakkan untuk buku tersebut.

Merunding

Apa perlunya rundingan? Dengan siapa editor perlu berunding?

Dengan penulis

  • Editor dan penulis perlu menjadi seperti artis dan pengurusnya. Penulis dan editor perlu berganding bagi menghasilkan buku yang dapat memberi impak kepada pembaca daripada segi kandungannya, fakta yang diberikan, konsep buku yang menarik dan pakej yang lengkap serta menepati keperluan pembaca.

Dengan perekabentuk

  • Istilah “Don’t Judge A Book By It’s Cover” kini tidak sudah tidak relevan dalam dunia perbukuan. Banyak penerbit yang berlumba-lumba menghasilkan desain kaver yang dapat menjadi tarikan pertama pembaca bagi memegang buku yang dipamerkan.

Urusan hakcipta dan royalti

  • Penulis yang menghantar manuskrip kepada penerbit mengharapkan imbuhan yang berbaloi dengan usaha yang mereka lakukan. Editor perlu bertindak sebagai orang tengah antara penulis dan syarikat penerbitan. Urut emosi penulis dan dalam masa yang sama masih menjaga etika sebagai editor syarikat penerbitan

Urusan pencetak dan percetakan

  • Editor dapat menentukan harga yang sesuai untuk buku apabila dapat berunding dengan pencetak bagi mendapatkan harga yang berpatutan. Hubungan baik dengan pencetak juga memudahkan urusan percetakan buku dan menjadikan buku lebih cepat dicetak.

Urusan promosi dan pemasaran

  • Promosi dan pemasaran tidak tertakluk kepada unit pemasaran semata-mata. Disebabkan setiap buku diuruskan dan dibaca oleh editor, hanya editor yang benar-benar faham apakah bentuk promosi yang sesuai dilakukan.

Mengurus

Pengurusan manuskrip mentah (manuskrip asal daripada penulis) memerlukan editor yang mahir dengan genre buku, subjek penulisan dan tokoh-tokoh penulis yang sesuai.

Apabila editor sudah mengetahui apakah genre buku yang perlu dihasilkan, editor perlu mula memilih penulis yang dirasakan sesuai dan layak menulis. Sekiranya ada penulis yang sudah menghantar manuskrip penuh, penilaian manuskrip dan kelayakan penulis perlu dibuat bagi memastikan buku yang diterbitkan berkualiti tinggi.

Proses suntingan, penyediaan ilustrasi (sekiranya perlu), rekabentuk kulit dan susun atur buku dibuat berdasarkan konsep, pakej dan desain yang sudah ditetapkan pada awal penilaian manuskrip.

Menyunting

Kemahiran wajib yang perlu ada pada editor adalah kemahiran suntingan. Namun begitu, ia bukan satu tugas yang mudah semudah menyemak ejaan dan tatabahasa. Ada tiga proses yang perlu dilakukan oleh editor semasa suntingan.

Pertama adalah menyunting isi manuskrip, fakta dan kesinambungan setiap bab. Editor perlu memastikan fakta yang diberikan adalah sahih, sumber rujukan adalah yang dipercayai dan susunan bab perlu dipastikan supaya teratur.

Proses kedua adalah menyunting ejaan, tatabahasa dan tanda baca. Gunakan rujukan yang menggunakan ejaan terkini dan dapatkan khidmat nasihat daripada sumber yang betul. Proses ini adalah proses yang nampak mudah tetapi sangat remeh. Disebabkan itu, editor mempunyai tanggungjawab kepada penulis bagi mendidik mereka supaya kerja-kerja penyuntingan menjadi lebih mudah.

Proses yang terakhir adalah proses penyuntingan mengikut gaya rumah penerbitan. Itu pun sekiranya ada. Beberapa rumah penerbitan mempunyai gaya penulisannya yang tersendiri. Bergantung kepada  hala tuju dan prinsip rumah penerbitan.

Berpandukan kepada 4 tugas UTAMA yang saya nyatakan tadi, ternyata tugas editor bukan hanya sebagai penyunting manuskrip, tetapi editor bertindak sebagai pengurus produk. Pengurus yang menguruskan semua perkara yang berkaitan dengan penghasilan sesebuah buku.

Tidak sukar menjadi seorang editor, tetapi bukan mudah juga. Jadilah editor yang memberikan nilai kepada pembaca, penulis dan buku yang dihasilkan.

editor-buku-dan-pasukan

Gambar: Saya bersama editor-editor muda yang ingin mendapatkan khidmat nasihat dalam penerbitan. Semoga adik-adik ini berjaya memandaikan bangsa melalui buku-buku yang mereka uruskan.