Pada tahun 2014, Kementerian dalam proses mendigitalkan keseluruhan bahan bacaan di sekolah.

Dalam proses ini, peringkat awal adalah buku teks. Kemudian pembelian buku-buku perpustakaan sekolah juga akan bertukar kepada digital secara berperingkat.

Dua tahun lepas, seorang librarian dari UK memberitahu beberapa sekolah dan universiti sudah memotong sebanyak 50% bajet pembelian buku fizikal dan menukarnya kepada pembelian buku digital.

Perkara yang sama pastinya berlaku di Malaysia juga.

Pembelian buku-buku digital atau ebook akan dibuat terus kepada platform provider. Contoh di luar negara adalah Overdrive. Di Malaysia kita ada Xentral Methods.

Apabila pembelian terus kepada platform provider, pembelian menjadi lebih transparen.

Kita sedia maklum isu ‘bawah meja’ yang kerap berlaku dalam pembelian buku bagi perpustakaan sekolah dan awam. Ini disebabkan pegawai pembelian yang tidak jujur dan pilih bulu.

Hanya buku cap ayam sahaja yang boleh memberikan sogokan besar kepada pegawai pembelian yang korup.

Kerana itu jika kita masuk ke perpustakaan, kita lebih mudah jumpa buku yang kita tidak pernah dengar pun tajuknya. Bila dilihat pada nama penerbit, nama itu pun kita tidak pernah dengar.

Pembelian secara terus ini akan membunuh mana-mana kontraktor buku yang kuat merasuah.

Malah pengedar buku juga bakal tertekan jika ebook sudah mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Industri digital bakal menghapuskan ‘orang tengah’.