Faktor kritikal bagi sebuah novel yang perlu diutamakan bukanlah turun naik plotnya. Tetapi, apa yang dihidangkan pada bab pertama.

Saya jumpa banyak novel yang cuma cerita santai-santai pada bab pertama. Tidak nampak ke mana hala plot dalam tebalnya ratusan halaman.

Pernah juga saya baca satu novel di tangga pertama carta jualan sebuah rumah penerbitan – mahu tahu apa yang membuatkan ia mencapai kedudukan itu. Saya kecewa. Bab 1 hingga bab belas-belas, hanya menceritakan kebahagiaan dan adegan-adegan watak pasangan utama saling memanjakan. Konflik hanya muncul selepas setengah novel habis dibaca. What a waste!

Dan hujungnya, novel itu hanya sekejap dalam pasaran. Sekali sahaja berada di carta atas, kemudian dilupakan.

Baik. Berikut beberapa teknik bagi menjadikan bab pertama sebagai pencengkam pembaca. Supaya apabila mereka mula baca novel kita semasa mahu tidur, jadi tidak boleh tidur.

(1) Mulakan dengan aksi + dialog.

  • Terus perkenalkan konflik utama.

Contoh:

BAB 1

Di kafe itu, dua perempuan berwajah tegang duduk berhadapan. Air dalam gelas masing-masing belum terusik.

Delila bersandar sambil memeluk tubuh. Dia memandang lawan di depannya. Tajam.

“Terima hakikat. Bukan kau, tapi aku!”

Hana membalas tanpa lengah, “Aku terima, bukan rezeki aku. Yang aku tak dapat terima, kerja kotor kau!”

Ketawa mengejek dilepaskan. Delila mengubah posisi, mendekatkan wajah pada Hana. Dia berbisik, “Dalam industri fesyen ini, cikpuan… kalau kau bekerja gaya malaikat, kau akan terkubur paling cepat!”

(2) Mulakan dengan deskripsi suasana yang memperkenalkan watak dan plot utama.

  • Pengenalan watak boleh dibuat sambil plot berjalan. Tidak perlu sesi taaruf kepada pembaca seperti hari pertama kem motivasi.

Contoh:

BAB 1

Tidak kurang manusia yang ada di Jakarta Kota hari ini berbanding hari Isnin. Seperti biasa, busway masuk bersilih ganti. Namun tidak busway Koridor 1 ke Tosari ICBC.

Ali sekejap-sekejap merenung jam di tangan. Hampir setiap satu minit, keluhan dilepaskan.

‘Aku sedang dalam konflik antara hidup dengan mati, bas pula tak sampai-sampai!’

Telefon bimbitnya berdering singkat. Ikon sampul surat muncul di atas skrin. Dia mengeluh lagi, lebih berat. Mesej dibaca. Nombor Malaysia.

“Surat letak jawatan kau dah siap. Aku taip sendiri. Lagi setengah jam dokumen perjanjian itu tak sampai ke tangan Bapak Haris, aku terima perletakan jawatan kau.”

Ali mendengus.

‘Kalau macam ini, jadi despatch lebih baik daripada eksekutif gaji tinggi tapi sudah macam anjing suruhan!’

(3) Mulakan dengan aksi mendebarkan.

  • Buat pembaca resah -> tertanya-tanya -> mahu tahu.

Contoh:

BAB 1

Derap kaki Hadi makin perlahan. Wajahnya pucat. Nafas sudah tidak teratur. Dia bersembunyi di sebalik sebuah tong sampah, lantas duduk bersandar di dinding.

“Abang lari daripada siapa?”

Hampir terlompat Hadi dari duduknya. Sepasang mata bulat yang melekat pada wajah comot memerhati dia dengan wajah tanpa emosi.

“Abang orang jahat yang dikejar oleh polis? Ataupun abang orang baik yang dikejar oleh orang jahat?”

Hadi pantas mengangkat telunjuk ke bibir. Dia menggeleng sedikit.

Kanak-kanak itu mengangguk-angguk, lalu duduk mencangkung di sebelah Hadi.

“Saya penjaga di sini. Saya akan selamatkan abang. Jangan risau, ya.”

Sebagai penulis, apabila diminta oleh penerbit untuk menghantar manuskrip novel beratus-ratus halaman, jangan mengelat dan ambil jalan mudah menulis babak-babak ‘asal ada’ dan sekadar ‘fill in the blanks’ yang tidak menggerakkan plot.

Sebaliknya, ambil kesempatan untuk manfaatkan ratusan muka surat itu dengan babak pelbagai emosi, plot point yang turun naik, karakter watak yang menarik dan menghiburkan, serta dialog-dialog yang sedap dibaca.

Kita tidak mahu novel kita tidak habis dibaca langsung dijual pre-loved. Kita tidak mahu juga novel kita membebankan penerbit untuk bayar hangus sewa gudang begitu sahaja.

Kita mahu novel kita jadi kesayangan pembaca, disimpan di rak paling baik, dan tidak sanggup diberi pinjam kepada sesiapa. Selama bertahun-tahun, dan pada setiap cetakan.