Untuk yang suka kepada buku, menulis buku adalah sesuatu yang berada dalam angan. Apatah lagi dalam dunia teknologi sekarang, menulis itu sepertinya terlalu mudah. Terbitnya buku juga sudah tidak nampak seperti mahu pergi mendaki gunung Kilimanjoro.

Paling-paling pun, sukarnya menulis dan menerbit buku adalah seperti melompat longkang yang besar.

Kalau cukup lajaknya, sampailah ke seberang. Kalau tidak, sama ada sebelum melompat mereka berhenti, ataupun masuk ke dalam longkang, dan paling malang, terus melanggar dinding longkang di seberang. Cedera. Berpaut kuat-kuat. Sudah mahu jatuh, tetapi tidak mahu minta tolong orang lain untuk menghulurkan tangan. Akhirnya terus di situ marah-marah sendiri.

Betulkah Mudah Menulis Buku

Jadi, bagaimana dengan menulis buku pertama? Walaupun sekarang ia cuma nampak seperti melompat longkang yang besar, adalah sangat perlu diketahui yang melompat longkang itu masih perlu banyak perkara.

Orang yang tidak berani, tidak akan melompat longkang yang besar. Jadi menulis buku itu perlu berani.

Ini baru sahaja melihat longkang itu arusnya deras, dengan sampah-sampah busuk mengumpul bangkai dan najis, semangat sudah hilang. Dunia buku juga begitu. Perlu berani. Kritikan dan kecaman memang akan sentiasa datang.

Mahu tidak mahu kita terpaksa hadapi. Itu belum apa-apa lagi berbanding melihat buku-buku tulisan sendiri yang tidak laku menompok di stor. Lebih menakutkan.

Berani itu bermula dengan sekecil-kecil perkara, iaitu berani menatap skrin putih kosong di hadapan kita. Cubalah sendiri, buka Word atau Openoffice. Tulis sesuatu berkenaan kiamat dan dajal sehingga 10 muka surat.

Apa perasaannya? Ada yang berasa ia ‘kacang’. Ada juga yang resah. Ada yang terus undur diri, alasannya tidak punya ilmu.

Dua Ilmu Dalam Menulis

Jadi, untuk berani kita perlu punya ilmu.

Ada dua jenis ilmu yang penulis perlukan. Ilmu isi, dan ilmu mempersembahkan isi tadi. Ada yang punya kedua-duanya dan dia menjadi penulis yang bertuah, dan ada pula hanya punya salah satu.

Untuk ilmu isi, tidak ada cara lain, kita perlu belajar daripada pengalaman dan guru. Perlu banyak membaca, juga memerhati manusia.

Bagaimana mahu menulis yang ada ‘isi’ sekiranya kita tidak ‘mengisi’ diri kita sendiri? Sekiranya hanya mengisi angin, angin jugalah yang keluar.

Bagi ilmu mempersembahkan isi pula, ada banyak bengkel penulisan yang wujud sekarang. Ia berkisah bagaimana mahu mempersembahkan isi ilmu yang kita punya dalam bentuk penulisan. Sama ada kita memilih mahu mempersembahkannya dalam bentuk fiksyen, ataupun non fiksyen. Terpulang kepada selera.

Mengapa Mahu Menulis Buku

Katakan, kita sudah punya kedua-dua ilmu tadi, kita kembali menghadap skrin putih tadi, tetapi kita tetap tidak bermula. Apalagi yang kita tidak ada? Ada banyak faktor. Terlalu banyak sebenarnya. Ia memaksa kita kembali ke titik asal kita mahu menulis buku.

Iaitu, apa matlamat kita mahu menulis buku? Adakah kita berharap pada faktor luaran, seperti royalti yang sedap, atau sanjungan khalayak?

Sekiranya betul, ia tidak salah. Malah bagus kita mengaku, kerana ia memudahkan kita untuk bertanya soalan seterusnya. Mengapa saya mahu royalti yang banyak? Mengapa saya mahu terkenal? Mengapa saya… itu…. mengapa saya ini…?

Soalan itulah yang akan mendedahkan faktor dalaman yang menjadi penguat kita menulis. Sekiranya kita mahu royalti yang banyak kerana mahu mengubah nasib keluarga, mahu mencari dana mengubati emak ayah, mahu popular kerana ia bagus untuk perjuangan yang kita usahakan, mahu dikenali supaya senang kerja dakwah, bererti kita punya sesuatu yang diperjuangkan.

Kita punya faktor dalaman yang kuat. Semua niat itu tadi, akhirnya akan kembali juga kepada sebetul-betul niat, iaitu menulis untuk mendapat redha Tuhan. Mahu membantu keluarga itukan, akan memberikan kita redha Tuhan? Menulis kerana perjuangan juga memberikan kita redha Tuhan. Akhirnya, keberanian menulis itu akan datang.

Namun, sekiranya soalan tadi tidak mengarah kepada faktor dalaman, bermakna sulit untuk kita menulis buku pertama, kerana kita tidak ada perkara yang diperjuangkan.

Mengapa perlu perjuangan ini? Pertamanya, ia memberi kita semangat yang tidak akan pernah habis, dan kedua, pembaca akan lebih dekat kepada kita, kerana kita ada sesuatu yang berbaloi diikuti. Perjuangan kita perlu jelas, dan pada ketika perjuangan sudah jelas, skrin putih di hadapan kita itu sudah tidak punya apa-apa lagi ketakutan.

Adakah masalah kita di hadapan skrin putih sudah selesai? Seperti melompat longkang yang besar, kita sudah tahu tujuan kita mahu melompat, sudah tahu ilmu mahu melompat, sudah tahu di mana mahu melompat, adakah kita akan terus melompat? Jangan. Berlatih dahulu.

Penulisan juga begitu. Jangan jadikan buku pertama itu, adalah sebab untuk pertama kalinya kita menulis. Sebelum menulis buku pertama, tulis dahulu di mana-mana. Di blog, di facebook, di majalah, di akhbar.

Kitakan sudah tidak takut lagi dengan skrin putih? Jadi, tulis dan terus menulis. Berlatih. Semakin banyak masukan komen yang kita terima, semakin terbina ‘otot’ penulisan kita.

Mungkin yang sudah pergi bengkel penulisan tahu maksud ‘peram karya’. Iaitu apabila karya sudah siap, jangan tergesa-gesa menghantarnya dahulu kepada penerbit. Biarkan seminggu atau ada yang sampai berbulan-bulan, dan kemudian baca kembali. Pada ketika itulah akan ada banyak kesalahan yang nampak, dan banyak perkara yang perlu ditulis, lupa kita masukkan. Jadi kita akan perbaiki lagi karya tadi.

Bukan selepas menulis sahaja kita perlu proses peram, malah sebelum menulis lagi. Kita peram kemahiran kita. Tidak perlu sampai masak, cukup kemahiran tadi sudah boleh ‘dimakan’. Dan bagaimana mahu ‘peram’ kemahiran? Kita ‘peram’ melalui latihan penulisan yang tidak berhenti.

Sampai bila perlu berlatih?

Soalan ini juga ada banyak jawapan. Antara yang mudahnya, sampai ada pembaca blog kita, ataupun status facebook yang menyuruh kita menulis buku kita sendiri. Namun, ia masih berisiko. Kita mahu menulis buku, bukan sekadar status facebook.

Jadi  cuba sekali lagi kita berhadapan dengan skrin putih. Lihat, sama ada kita dapat menulis lima muka surat tanpa berhenti. Malah kita seronok tanpa ada rasa terpaksa. Sekiranya berhenti pun hanya kerana mahu mengatur kembali idea. Itu bermaksud, ‘otot’ penulisan kita sudah bersedia untuk melangkah lebih jauh. Ingat, penulisan buku ini adalah ibarat marathon. Ia jarak jauh, dan berapa ramai yang tidak menghabiskan bukunya kerana ‘penat’, kerana ‘otot’ penulisan tidak mereka latih dengan baik.

Menulis bukan sampai kita penat, ataupun sampai kita puas, tetapi menulis mesti sampai SIAP. Selain SIAP, kita tidak ada alasan untuk berhenti. Hanya karya yang SIAP yang akan dinilai dan diberi kritik, bukan pada karya indah sempurna yang tidak pernah SIAP.

Berkisah tentang kemahiran menulis ini, akan ada banyak mazhab penulisan yang memberi definisi kepada maksud ‘mahir’ tadi. Jangan resah sekiranya kita tidak mahir dengan ‘mazhab penulisan A’. Mungkin kita lebih sesuai dengan ‘mazhab penulisan B’. Ataupun, kita sebenar-benarnya punya mazhab penulisan kita sendiri.

Tetapi jangan pula terlalu pergi jauh daripada bentuk penulisan terkini. Ia akan menyukarkan kita untuk menulis atau menerbitkan buku pertama kita. Asas penulisan ini biasanya sama sahaja.

Semasa berbengkel perhatikan pada TUJUAN, tajuk yang ada perkataan ‘Cara / bagaimana’. ‘Cara membina… , ‘Bagaimana membuat… ‘Cara mengolah…’, dan apa sahaja yang bermula dengan perkataan Cara… Bagaimana…”  TUJUAN ‘cara / bagaimana’ itu kita ambil, dan kita boleh mengolah ‘cara / bagaimana’ kita sendiri dalam mencapai ‘TUJUAN’ itu.

Katakan kita sudah sedia melompat longkang. Kita sudah ada kemahiran dan tahu atas tujuan apa kita melompat. Kita akan berhadapan dengan satu perkara ini. Perkara yang biasanya membuatkan orang pulang ke rumah dan baring menonton televisyen. Hati kepada penulisan terus hilang. Apa perkara itu?

Katakan untuk melompat longkang tadi, kita perlu kebenaran pihak berkuasa. Pihak berkuasa itu pula tidak membenarkan kita melompat. Mungkin kerana di seberang sana sudah penuh dengan manusia, ataupun dia masih tidak yakin dengan kemampuan kita.

Dalam menulis buku, ‘pihak berkuasa’ tadi mungkin editor, mungkin juga rakan-rakan kita. Sama ada kita cari tempat lain untuk melompat, yang tidak ramai orang di seberang, ataupun kita pilih longkang yang tidak terlalu besar.

Namun, di sinilah banyaknya bakat-bakat besar mati sebelum ada buku pertama. Mereka rasa tidak dibenarkan melompat longkang. Berasa, susah mahu buku mereka diterbitkan. Akhirnya putus asa.

Bagaimana untuk mengatasinya?

Ada banyak jawapan juga untuk soalan ini. Paling nampak mudah, adalah terus mencuba, terus berusaha. Ya, ‘nampak mudah’, tetapi ia sebenarnya tidaklah semudah itu. Boleh juga, kita lompat sahaja longkang milik kita sendiri.

Kita terbitkan sahaja buku kita. Atau tanya kembali kepada pihak berkuasa tadi, “Mengapa saya tidak dibenarkan melompat longkang ini? Ada cara untuk saya melompatinya?”

Itu yang kita sering terlupa apabila terhalang. Lupa bertanya kepada yang menghalang, mengapa kita dihalang? Terus bersangka sama ada kita memang tidak mampu, ataupun yang menghalang tadi tidak mahu melihat kita maju. Sedangkan sentiasa ada jawapan dan jalan untuk semua kesukaran.

Jangan takut untuk bertanya. Walaupun mungkin pihak tadi tidak memberi jawapan yang pasti, tetapi ingat yang mereka cuma asbab. Yang sebenar-benar punya jawapan adalah Tuhan yang maha kuasa. Dia yang mengizinkan kita maju, dan Dia juga yang mengizinkan kita terhalang.

Sentiasa ingatkan diri, yang ini semua adalah proses. Kita dinilai dengan proses yang kita jalani. Apapun keputusan yang terbit daripada proses itu adalah bonus. Sekiranya buku kita laku keras ia adalah bonus, tetapi belum tentu buku yang laku keras tadi dinilai lebih tinggi oleh Tuhan berbanding buku yang tidak terbit.

Buku pertama kita yang siap, tidak semestinya buku pertama kita yang akan terbit. Malah mungkin ia tidak akan pernah terbit. Buku pertama kita yang sudah siap, adalah proses. Dan sebagai ‘proses’ ia tidak akan pernah sia-sia.

Selepas membaca artikel ini, bagaimana dengan buku pertama kita? Masih rasa terhalang? Semakin terlihat sukar?

Apa pun jawapan kita untuk soalan ini, ia menentukan di mana letaknya angan-angan kita mahu punya buku sendiri. Sama ada masih tercatat dalam impian, ataupun tercatat dalam katalog perpustakaan.

Sekiranya buku pertama kita masih tercatat dalam impian, jangan bersedih kerana kita hanya boleh bersedih apabila ia tercatat dalam kenangan.