Input ilmu dalam bahasa yang teratur mempermudahkan proses pembinaan karakter melalui proses membaca.

Potensi individu berkembang apabila penguasaan ilmu dapat dilakukan lebih cepat kerana buku-buku yang ditulis dan dibaca dari rumah menjadi pra persediaan kepada bahan bacaan lebih kompleks.

Daya penerimaan lebih cepat meningkat kerana struktur bahasa yang dibentuk akan melalui proses pengukuhan kesan daripada pengulangan corak yang sama.

Kajian Basil Bernstein

Dalam satu kajian yang diketengahkan oleh pakar sosiologi dan linguistik British bernama Basil Bernstein, didapati kanak-kanak kelas menengah atas lebih mudah belajar di sekolah berbanding kanak-kanak kelas menengah rendah.

Kajian Basil mendapati, kanak-kanak menengah atas telah didedahkan dengan bahan bacaan dan budaya bertutur dengan bahasa tinggi berbanding kanak-kanak menengah rendah yang terdedah kepada corak bahasa tempatan yang menggunakan laras bahasa yang rendah di rumah.

Buku kualiti rendah punca kemiskinan

Daripada kajian ini, kanak-kanak menengah rendah berhadapan kesukaran dalam pembelajaran di sekolah kerana mereka tidak didedahkan pada bahasa tinggi seperti mana terkandung dalam buku-buku matapelajaran yang digunakan di sekolah.

Akibatnya, kanak-kanak ini secara langsung terperangkap dalam kemiskinan budaya dan kemiskinan ilmu yang menjadikan mereka tertolak ke belakang.

Malah kemiskinan ekonomi juga tidak dapat dinafikan kesan daripada kegagalan menguasai pengetahuan asas.

Kajian Basil memberi gambaran kepada kita bahawa jenis pertuturan yang digunakan oleh ibu bapa kepada anak-anak dan bahan bacaan yang diberikan memberi kesan kepada pencapaian akademik mereka.

Penulis Sebagai hitman

Jika dilihat daripada perspektif dunia buku, kajian ini membuktikan bahawa konteks sesebuah buku dan cara ia ditulis mempunyai kaitan yang rapat kepada penciptaan kedudukan hierarki sosial pembaca.

Hasil kajian ini juga memberitahu kita bahawa karya yang ditulis dengan penggunaan bahasa pasar lebih memberi kesan buruk kepada pembaca.

Ini dianggap mitos yang dipegang oleh para penulis tempatan yang percaya gaya penulisan seperti itu membantu mengembangkan karakter positif dan budaya fikir pembaca.

Lebih menakutkan lagi, penulis tempatan sebenarnya berperanan secara langsung meletakkan pembaca pada hierarki lebih rendah.

Karya yang ditulis membawa pembaca ke dalam kumpulan sosial yang rendah dan terus kekal dalam kelompok itu. Begitu berkuasa bahan bacaan yang dihasilkan sehingga mencipta realiti kepada para pembacanya.

Panjangkan Hayat Buku

Penulis tempatan bukan sahaja berperanan memperbanyakkan judul-judul buku tempatan. Pada masa sama, buku yang ditulis hendaklah mematuhi adab berkarya, iaitu mengambil kira keperluan menulis menggunakan bahasa Melayu tinggi.

Penggunaan bahasa pertuturan yang bercampur aduk dengan bahasa pasar yang dibawa ke dalam bentuk penulisan berhadapan dengan risiko jangka hayat karya yang pendek.

Pada sekitar tahun 1960-an perkataan mambang adalah perkataan yang popular digunakan dalam filem-filem Melayu. Perkataan mambang dikaitkan dengan gadis atau perempuan cantik. Semakin zaman berlalu, perkataan ini menjadi tidak relevan dan tidak digunapakai sebagaimana diungkapkan dalam dialog-dialog filem Melayu pada ketika itu.

Banyak karya-karya penulis tempatan yang berkualiti isinya melalui fasa kepupusan dalam industri buku tempatan. Karya yang mati menjadi kerugian dalam proses pembinaan ilmu masyarakat.

Ia menjadi sebuah karya yang tidak relevan dan tertolak daripada fungsi asalnya iaitu memperbaiki masyarakat secara keseluruhan. Keadaan ini berpunca apabila penulis tidak berkarya dengan adab bahasa yang disarankan.

Kebanyakan penulis tempatan dalam pelbagai genre berhadapan sukar menukar rentak karya mereka apabila karya mereka sudah lama ditulis dengan rentak bahasa yang tidak sesuai dengan amalan bahasa Melayu tinggi.

Tetapi perkara ini mesti dilakukan demi memastikan survival ilmu dan pemetaan pemikiran tempatan bertahan pada jangka masa panjang.

Apabila tanggungjawab adab berbahasa tidak diangkat oleh penulis tempatan, maka karya-karya mereka menjadi pembunuh dalam senyap yang merosakkan kod budaya yang terkandung dalam sesuatu bahasa.

Diraikan ketika hidup, dipanggil pembunuh apabila sudah meninggal dunia.

Adakah itu noktah kerja-kerja penulisan kita?