Royalti digunakan dalam dua keadaan.

Pertama, cara penulis menentukan kadar pendapatan akan datang sesuai dengan kerja yang diusahakan.

Penulis akan menentukan jumlah buku yang mahu ditulis bagi mencapai maksud kewangan yang mahu dicapai.

Lebih-lebih lagi penulis sepenuh masa, rancangan kewangan sangat penting kepada mereka.

Kedua, cara penerbit menarik penulis yang bagus dengan menawarkan peratus yang tinggi kepada penulis.

Tetapi, biasanya pendekatan ini dibuat oleh penerbit baharu atau yang bergerak dari penerbitan sendiri menjadi rumah penerbitan.

Jangka pendek nampak menguntungkan, lama-lama kelamaan ia memberatkan kos operasi rumah penerbit. Secara langsung penulis terkesan sama.

Selama 16 tahun menjadi penulis buku, ada banyak model pembayaran royalti diperkenalkan oleh penerbit. Penawaran royalti juga berubah berdasarkan tahap kesihatan ekonomi negara.

Tanpa menyebut nama penerbit saya senaraikan.

Model Pengiraan Royalti Yang Wujud

1. Royalti peratusan X harga pada kulit buku.

Misalnya royalti berjumlah 10% X RM10.00 = RM1.00 royalti penulis bagi setiap unit terjual.

Jika 2,000 unit terjual, maka 10% X RM10 X 2,000 unit = RM2,000 royalti

2. Royalti peratusan X harga buku selepas diskaun pengedar

Contoh royalti berjumlah 10% X (RM10 X 40% diskaun pengedar) = RM.60 bagi setiap judul.

Cara begini dibuat kerana ada satu tempoh penerbit terpaksa jual buku secara lelong, maka diskaun lebih tinggi terpaksa diberikan.

Oleh itu, penulis masih dapat royalti walaupun buku telah dilelong.

3. Royalti pukul rata.

Ditetapkan jumlah, misalnya tiga ringgit bagi satu buku.

4. Royaliti peratus progresif X harga buku pada kulit buku atau selepas diskaun pengedar.

Contoh, jualan antara 1 sehingga 2000, kadar royalti 10%, 2001 ke 4000, kadar royalti 11% sehinggalah maksimum yang ditetapkan oleh penerbit X harga buku X diskaun pengedar.

5. Royaliti selepas ulang cetak. Cetakan pertama royalti dalam bentuk buku.

Cetakan pertama menerima sepuluh naskhah buku, cetakan kedua barulah kiraan dibuat berdasarkan mana-mana di atas. Biasanya ini diamalkan ke atas buku yang melebihi empat orang penulis.

6. Bagi kiraan royalti pelesenan pecahan daripada royalti diterima adalah 70 (penulis):30 (penerbit).

Royalti pelesenan bermaksud karya asal yang diterbitkan oleh penerbit A dilesenkan oleh penerbit lain bagi tujuan penerbitan mereka.

7. Royalti karya terjemahan sekitar 1% sehingga 3% pada harga buku.

Jumlah ini tidak mutlak, bergantung kepada amalan rumah penerbitan.

8. Royalti karya terjemahan public domain dibayar sama seperti karya penulis asal.

Public Domain adalah karya yang penulisnya sudah meninggal dunia lebih daripada 50 tahun. Maka setiap jualan buku itu tidak lagi memberikan sumber pendapatan buat warisnya.

Oleh itu penerbit juga tidak menanggung kos perlesenan.


Jangan memilih penerbit berdasarkan jumlah peratusan royalti yang tinggi. Lihat kepada mekanisme penerbit membawa buku ke seberapa banyak saluran jualan.

Ada juga penerbit memberi separuh pendahuluan royalti tetapi jualan buku dalam pasaran tidak memberangsangkan.

Penulis baharu mesti mengambil masa melihat tanda-tanda di mana buku penerbit berada dalam pasaran.