Apa Pentingnya Mempertahankan Kedai Buku?

Kedai buku merupakan jujukan memori yang paling akrab dalam fikiran apabila mahu mengenang arwah ayah.

Kedai buku milik seorang pengusaha India Muslim di Chow Kit menjadi kedai buku pertama yang dijejaki pada tahun 1985.

Ayah membawa saya ke sana. Apabila berada di depan pintu kedai buku, beliau melepaskan tangan yang dipimpin sepanjang berjalan kaki ke sana.

Itu signal kebebasan memilih satu buku buat pertama kali.

Langsung teringat buku-buku mata pelajaran bahasa Inggeris di rumah milik abang yang bersusun di atas meja. Pantas saya memilih buku panduan berbahasa Inggeris yang penuh visual.

Pulang ke rumah, abang berkata, “Selepas sebulan pun kamu tidak akan dapat menguasainya,” cabaran yang membuat saya degil mahu menguasai buku yang dipilih.

Ramalan abang tepat.

Buku yang menjanjikan penguasaan bahasa Inggeris selama tiga puluh hari gagal dihadam.

Seratus peratus terjemahan kandungan buku dalam bahasa Indonesia!

Mana mungkin saya faham ayat, “Permisi dahulu,” atau “Selamat sore,” kerana ini bukan bahasa harian di rumah!

Kedai buku tidak dilihat sebagai tempat bersusun rak dan buku semata-mata.

Kepada kanak-kanak, apa sahaja yang ada di situ merupakan tangkal-tangkal yang dijilid kemas agar dapat menguasai sesuatu.

Apabila arwah ayah membawa saya ke kedai buku dua tingkat di jalan Tuanku Abdul Rahman, timbul rasa teruja kerana kedai buku kali ini mempunyai tangga.

Pada saya, tangga itu lambang kemewahan sebuah kedai buku.

Lebih banyak tangkal di situ.

Umur tujuh tahun berganti dua angka mendekati separuh usia.

Kedai buku kemudian menjadi tempat mendapatkan keberanian, keluar dari sikap introvert dan cuba meraikan sifat seorang ekstrovert.

Setiap bulan turun melihat acara penulis di tengah-tengah kedai buku. Sedaya upaya mengumpulkan kekuatan duduk di sebelah orang asing dan gunakan keberanian berbaki untuk bercakap dengan penulis.

Interaksi pertama bercakap dengan Steve Shapiro (foto), penulis Goal-Free Living; How to Have the Life You Want No menjadikan yakin diri sedikit membukit apabila berhadapan manusia dari zon masa dan lingkar budaya yang berbeza.

Dalam kepala saya hanya mahu bertanya satu soalan sahaja. Itu cukup untuk meretakkan rasa takut yang melilit emosi sendiri.

Kedai buku memberikan peluang ini sebelas tahun lalu.

Tengah hari tadi dalam mesyuarat, pengurus rumah penerbitan berkata, “Meskipun kami cepat berkembang melalui jualan online, tapak acara dan sekolah, kami tetap mahu kedai buku bernafas.”

Kita tidak mahu melihat kedai buku menjadi tempat menjual alat tulis dan buku akademik sahaja.

Kedua-dua kategori ini lebih cepat dijual dan mudah mendapat tunai.

Jika ruangan lain dikecilkan, ini petanda tidak baik kepada perkembangan industri buku. Kedai buku mesti dibantu menjadi titik temu dan tapak interaksi manusia berbudaya.

Mesej pengurus penerbitan ini sama sahaja seperti kata pengurus Kinokuniya di Singapura.

Dua tahun bertemu, dua kali dia berkata, “Kedai buku merupakan sebuah orkestra.”

Setiap susunan dalam kedai buku merupakan susunan not yang memberi keindahan kepada pembaca.

Jika salah satu not muzik hilang, maka bunyi menjadi sumbang. Kehidupan pembaca tidak ada kenang-kenangan manis di kedai buku.

Kedai buku tanpa susunan sebuah orkestra akan menjadikan mereka seperti kedai runcit sahaja.

Mahu faham betapa pentingnya kedai buku dalam kehidupan kita, tonton filem You’ve Got Mail lakonan Tom Hanks dan Meg Ryan. Filem diterbitkan pada tahun 1998.

Sayang sekali jika dialog pelanggan di kedai buku sekadar, “Ibu, ini buku cara cepat kuasai Matematik di sekolah. Ibu ini pula pensil yang saya mahukan.”

Kita mahu lebih warna-warni dalam dialog pelanggan di kedai buku menjadi, “Ibu, ini buku resipi hujung minggu. Bolehlah kita cuba-cuba buat resipi hidangan minum petang chef ini,” atau “Abang ini cerita orang jatuh dalam bisnes dan naik semula, bacalah.”

Kedai buku yang berwarna-warni judul-judul bukunya menjadikan pelanggan kekal sebagai manusia.

Rencana yang tersiar dalam The Huffington Post tulisan Wendy Welch memberi perspektif yang lebih meluas. Kedai buku adalah pasak kehidupan kepada seorang pembaca.

Berdiri di kedai buku dianggap berdiri di tengah-tengah komuniti yang hidup.

Apa yang disentuh, dilihat, dirasa, dibau dan didengar dalam sebuah kedai buku memberi pengalaman kepada pembaca menjadi seorang manusia.

Kedai buku dapat meruntuhkan formaliti antara pembaca, sebagaimana mudahnya khalayak bertemu lalu bersalam dan berswafoto bersama Datuk A. Samad Said dan Raja Dr Nazrin Muizzuddin Shah yang dilihat dari jauh sedang tekun memilih buku.

Apa pengalaman pertama yang tidak dapat anda lupa mengenai kedai buku?

Ceritalah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *