Apa sebenarnya perbezaan pada generasi kini berbanding generasi sebelumnya hingga begitu jauh beza kekayaan bahasa antara kedua-duanya?

Menurut Tuan Ali Imran dalam hantaran terbaru di Facebook beliau, mungkin kerana dunia muzik yang mempengaruhi jiwa muda bukan lagi seperti dahulu.

Imran viral
Imran viral

Mungkin ahli muzik, dalam kes ini, ‘Rapper’ yang perlu tunjukkan cara kembali ke pangkal jalan.

Berikut adalah petikan terus daripada hantaran beliau:

Kita kena terus biarkan Altimet dan Malique bertempur demi kemaslahatan anak-anak bangsa kita.

Ingat tak waktu kita di sekolah, antara cara cepat kita belajar Bahasa Inggeris adalah dengan cara dengar lagu di Hitz FM (sebelum jadi Hitz.FM)?

Ingat tak macam mana kita gila beli majalah Galaxy sebab nak cari lirik, nak pastikan setiap bait kata yang kita iramakan sambil dengar lagu itu betul semuanya?

Masihkah kita ingat bagaimana bila ada orang kata sesuatu lagu itu puja syaitan atau boleh buat murtad, bersungguh kita godek kamus untuk fahamkan setiap patah perkataan demi menafikan setiap tuduhan itu?

Ya, itulah pengaruh muzik dalam kehidupan kita.

Ia beri kita satu bentuk keimanan, keyakinan dan kekuatan untuk melakukan sesuatu yang tidak pernah kita sangka.

Hari ini, berapa ramai anak Melayu yang baca bahan bacaan Melayu?

Sedangkan pasaran buku novel cinta pun sakit, kau jangan tanyalah pasaran buku lain.

Baucer Buku pula kini diterjemahkan dalam bentuk Kad Diskaun Siswa. Lagilah senang duit itu tak diguna ke arah buku. Okay itu topik lain. Nanti ada yang sentap dan bawang pula.

Aktiviti membaca adalah amat penting. Bukan semata-mata ilmu yang nak disampaikan penting tetapi kaedah penyampaian juga memainkan peranan.

Seringkali kita kata anak muda kita kurang kemahiran meluahkan pendapat. Kita kata mereka tidak boleh berkomunikasi dengan baik.

Kenapa berlaku begini? Sedangkan perbuatan bercakap itu adalah satu perkara fitrah. Hari-hari kita bercakap.

Bangun tidur, kita mengucapkan puji kepada Tuhan – kita bercakap.

Ucap selamat pagi – bercakap.

Tanya mak masak apa – bercakap.

Order teh tarik – cakap.

Melepak dengan kawan – cakap.

Pergi ‘dating’ – bercakap sampai tergeliat lidah.

Maka sebenarnya mereka tiada kekurangan dalam kemampuan menggerakkan impuls-impuls dari cabang otak mereka yang seterusnya menggaktifkan kotak suara dan akhirnya menggerakkan rongga mulut dan bibir menurut apa yang dihajati.

Cuma apa yang kurang adalah – impuls apa yang mahu dicanang oleh sang otak kalau si otak tiada pengkalan data yang mewah dengan pilihan kata?

Anak-anak kita sebenarnya miskin kosa kata.

Pengkalan data mereka diisi dengan bait-bait rongak dan rosak yang mereka kutip daripada aktiviti kehidupan sehari-hari.

Di mana letaknya ajaran songsang ini?

Ia ada dalam setiap teks whatsapp mereka. Dalam setiap laman sesawang picisan yang mereka layari.

Mari sini aku ingatkan – aktiviti membaca bukanlah semata-mata demi mendapatkan ilmu.

Juga sama penting adalah, memahami cara bagaimana sesuatu ilmu itu disampaikan.

Kalau baca novel cinta, bait-bait kata romantis mengajar si pembaca untuk memahami cara meluahkan rasa dengan gaya lebih luas selain hanya berkata “I Love You’.

Buku-buku kisah hidup mengajar pembaca cara menjelaskan bagaimana letak duduknya sesuatu situasi daripada sudut pandang ‘orang pertama’ (first party).

Buku sains dan non-fiksyen mengajar cara membentang idea dengan cara yang terstruktur, teratur sesuai dengan disiplin ilmu masing-masing.

Selain mengajar cara mengekspresi, juga sama penting adalah si pembaca dapat mempelajari jenis perkataan yang diguna sang penulis dalam membentangkan idea mereka.

Proses membaca membolehkan semua perkataan ini diserap masuk sang pembaca dan digunakan dalam kehidupan seharian mereka.

Maka rumusnya adalah=

Mampu bercakap +
ada ilmu dan konteks penggunaan ilmu+
tahu nak guna perkataan apa
= Mampu berkomunikasi dengan baik

Kembali kepada perkata pertama aku sebut tadi, kita harus biarkan Malique dan Altimet bertarung.

Mereka bertarung lagu. Senjata mereka adalah bait perkataan. Ritma mereka jadi kuda perang yang berlari kencang.

Mereka bukannya macam Tupac Shakur dan The Notorious B.I.G, Westside lawan Eastside sampai nak bergaduh dan berbunuhan.

Pertarungan Malique dan Altimet menguntungkan kita. Ia memberi nafas garapan kepada dunia muzik tempatan.

Ia beri pilihan kepada masyarakat untuk dengar konotasi seni berbeza, bukan setakat lagu yang bila dengar pun kita harap kita tak pernah dilahirkan untuk mendah telinga mendengarnya.

Paling penting, bait-bait kata dalam lagu rap ini membuatkan kita semua tersedar betapa mendalam dan kaya kosa kata dan ekspresi bahasa dalam Bahasa Melayu itu sendiri.

Semoga anak-anak kita selepas ini mula selak kamus dewan untuk faham kata-kata seperti picik, buncah, bacok, suaka, suasa, relau dan lawas.

Ali Imran
Wartawan Awam #TeamMalique

Suka post ini – Tolong SHARE

Kredit gambar – Beautifulnara dan Astro Gempak