9 Perkara Wajib Ada Dalam Novel

Menulis novel bukan semudah membiarkan air mengalir keluar dari mesin basuh ke parit.

Pembikinannya adalah suatu proses yang memerlukan perancangan strategik, demi memastikan apa yang dihidang kepada pembaca membuat akal mereka kenyang, hati senang, dan mampu tidur dengan tenang.

Berikut adalah sembilan perkara yang mesti dimasukkan ke dalam novel bagi menjadikannya sebuah karya sebenar.

(1) WATAK PROTAGONIS

Protagonis bermaksud watak utama.

Watak utama tidak semestinya baik. Walau bagaimanapun, sangat disarankan protagonis adalah watak baik supaya pembaca dapat menjadikan dia hero dan tauladan.

Watak utama mesti mempunyai visi utama yang mahu dicapai.

(2) VISI UTAMA

Visi utama boleh ditentukan secara ringkas menggunakan logline, yakni penerangan idea cerita menggunakan sebaris ayat.

Contoh logline Surah Yusuf: Yusuf seorang kanak-kanak dari Palestin yang menjadi mangsa buli abang-abang sendiri, namun akhirnya dihormati oleh abang-abangnya apabila beliau dilantik menjadi menteri di Mesir.

Contoh logline Pendekar Bujang Lapok: Ramlee, Sudin, dan Ajis merantau ke Kampung Pinang Sebatang untuk berguru silat dengan Pendekar Mustar.

Contoh logline Laskar Pelangi: Sembilan kanak-kanak kampung Belitong bersemangat mahu mendapatkan pendidikan, namun berdepan pelbagai kesukaran.

Perhatikan ayat yang ditebalkan. Itulah visi utama bagi watak utama.

(3) KONFLIK UTAMA

Konflik utama dicipta berdasarkan logline.

Watak utama mesti menyelesaikan konflik utama yang menghalang dia mencapai visi utama.

Baca semula logline, dan fikirkan kemungkinan-kemungkinan apa yang akan dihadapi oleh watak utama sepanjang menjalankan misi untuk mencapai visi utama.

(4) WATAK ANTAGONIS UTAMA

Antagonis bermaksud watak yang melawan protagonis.

Fungsi watak antagonis utama ialah mewujudkan konflik utama supaya misi watak utama mahu mencapai visi utamanya menjadi sukar.

Boleh wujudkan banyak watak antagonis dalam satu cerita. Pastikan antagonis utama menjadi yang paling akhir dan paling susah untuk ditewaskan.

Apabila antagonis tewas, maka keheroan protagonis dapat dibuktikan.

(5) WATAK PEMBANTU

Wujudkan watak-watak pembantu yang perlu untuk membantu cerita.

Ada banyak watak pembantu dalam Surah Yusuf, antaranya Nabi Yaakub (bapa Yusuf), Bunyamin (adik Yusuf), Al-Aziz, dua banduan dalam penjara, perempuan-perempuan kaya kawan isteri Al-Aziz (Zulaikha), Raja Mesir, dan ramai lagi.

(6) SUB-PLOT

Sub-plot ialah cerita di dalam cerita.

Sub-plot menceritakan konflik yang dihadapi oleh watak pembantu.

Wujudkan sub-plot bagi menjadikan novel lebih menarik dibaca.

Contoh sub-plot dalam filem Bujang Lapok ialah kisah Sudin dengan Jeton, dan Ajis dengan Dayang Sofia.

(7) KONFLIK KECIL

Dalam Surah Yusuf, Nabi Yusuf berdepan dengan sekurang-kurangnya tiga konflik kecil.

Antara konflik dalam Surah Yusuf ialah konflik cinta lelaki dan perempuan. Yusuf telah digoda oleh perempuan isteri orang yang jatuh cinta kepadanya.

Lebih banyak konflik yang dihadapi oleh watak utama, lebih hero dia akan jadi.

(8) TWIST

Fungsi twist ialah memecahkan klise dan jangkaan pembaca.

Di mana mahu letakkan twist?

Letakkan di hujung mana-mana babak yang kritikal sehingga mampu mengejutkan pembaca.

Twist menjadikan cerita kita ditagih untuk dibaca sehingga tamat.

(9) PENAMAT YANG TEPAT

Tamatkan kisah sebaik konflik utama selesai dan visi utama tercapai.

Tidak perlu lanjut-lanjutkan cerita dengan babak tidak penting.

Contoh; kisah cinta dua darjat.

Visi utama watak utama ialah untuk berkahwin dengan kekasihnya. Konflik utama ialah halangan keluarga.

Cerita mesti ditamatkan sebaik watak utama dan kekasihnya berjaya disatukan. Tidak perlu tambah babak berkahwin, beranak-pinak, melancong bersama keluarga, sambung belajar, dan sebagainya.

Penamat perlu tamat dengan tepat supaya impaknya terkenang-kenang dalam hati pembaca untuk tempoh yang lama. Inilah yang akan menjadikan novel kita topik bualan dan seterusnya kita dapat pemasaran percuma ‘word-of-mouth.’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *