7 Cara Menjana Idea Untuk Fiksyen

PERTAMA: Baca buku

Walaupun kita penulis fiksyen, jangan hadkan diri membaca novel yang sama genre sahaja. Baca novel genre lain, dan baca juga buku-buku non-fiksyen bagi menambahkan pengetahuan.

Penulis prolifik Bahruddin Bekri pernah sekali ditemui sedang membeli buku tentang ekonomi. Apabila ditanya, beliau berkata itu rujukan untuk novel yang sedang ditulis.

Jadi, ilmu dalam buku non-fiksyen boleh dimasukkan ke dalam karya fiksyen bagi membekalkan informasi berguna kepada pembaca.

KEDUA: Tonton drama / filem

Kebiasaannya, drama dan filem banyak menampilkan idea-idea storyline segar dan sureal yakni lain daripada biasa.

Tonton sebanyak-banyak yang mungkin dan cantumkan idea-idea yang muncul hasil daripada tontonan itu, menjadi idea baru karya kita pula.

KETIGA: Tonton dokumentari / baca majalah

Dokumentari terutama dari saluran seperti National Geographic, History, Animal Planet, ataupun majalah seperti Reader’s Digest dan banyak lagi, memberikan kita maklumat yang ‘rare’ iaitu jarang diketahui orang.

Daripada maklumat-maklumat begini, boleh kita manipulasikan menjadi idea cerita yang segar dan unik.

KEEMPAT: Baca akhbar

Akhbar walaupun banyak memaparkan kisah yang kurang menggembirakan, masih boleh menjadi sumber idea terutama mencipta konflik-konflik yang luar biasa.

Apapun, perlu kita tapis ataupun ubah suai untuk dimasukkan ke dalam karya, supaya konflik kita tidak sehingga melanggar hukum syarak.

KELIMA: Baca status Facebook / blog konten

Zaman ini ada banyak konten menarik dan unik dari media sosial dan blog konten seperti The Vocket, Oh! Media, Siakap Keli, dan dari luar negara antaranya Humans of New York dan AJ+.

Kita tidak boleh tiru bulat-bulat konten mereka, namun kita boleh contohi idea kasar cerita seterusnya ubah suai mengikut kreativiti kita sendiri pula.

KEENAM: Duduk perhati gelagat manusia

Bertapa di dalam rumah dan mengharapkan carian Google sahaja tidak dapat mengembangkan minda kita. Sesekali, keluar dari rumah, bawa laptop dan bekerjalah dari mana-mana kafe, warung, ataupun medan selera di pusat membeli-belah.

Walaupun mungkin kita rimas dengan orang ramai, taman rekreasi dan pasar malam adalah sumber idea yang besar. Duduk di sana dalam sejam dua sambil perhatikan gelagat manusia. Pasang telinga untuk mendapatkan cetusan idea dialog.

Ambil gambar benda-benda unik yang dilihat. Kumpulkan semuanya ke dalam Bank Idea dan keluarkan semula apabila diserang writer’s block.

KETUJUH: Mengembara

Apabila sebut mengembara, usah bebankan diri dengan memikirkan tentang wang, masa, dan sebagainya.

Mengembara tidak semestinya ke luar negara. Sekiranya kita biasa pergi ke bandar dengan memandu, sesekali pergi naik bas, LRT, ataupun teksi. Jalan kaki ronda-ronda pekan.

Pasang niat mahu mendapatkan idea cerita. Dan beranikan diri memulakan perbualan dengan orang asing yang ditemui.

Insya-Allah, banyak idea baru dan segar akan muncul sepanjang pengembaraan kita, walaupun hanya dari rumah ke pekan terdekat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *