Perkara yang sangat ditakuti dan sangat biasa berlaku kepada penulis adalah writers block. Seperti ada batu besar yang menghalang ilham turun ke jari.

Lebih biasa berlaku kepada penulis muda. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang belum pernah menulis. Penulis baru ini menghadap skrin monitor yang kosong dan selalu terfikir: “Bagaimanalah penulis prolifik itu boleh menulis dengan cepat, banyak dan indah? Aku ini mahu bermula pun susah!”

Penulis yang prolifik bermula seperti semua penulis baru juga: penuh kekecewaaan.

Namun hari demi hari bertarung dengan perasaan itu dan mencuba pelbagai cara, kebanyakan dari mereka kini produktif dengan gerak kerja menulis yang tersusun dan terfokus.

Antara gerak kerja tersbut adalah:

1. Masa Yang Pendek, Tulis Berdikit

Masa mereka menulis bukan dari 8 pagi terus menulis tidak berhenti sehingga 12 jam. Tidak.

Itu hanya mitos.

Menulis adalah kerja berat. Perlu perah otak. Menurut kajian, manusia hanya mampu bertahan selama lebih kurang 20 minit dalam melakukan kerja berat yang terfokus.

Kita harus merancang masa dalam senggat 20 minit kerja penulisan berat dan diselang seli dengan rehat 3 hingga 5 minit antara 20 minit tadi.

Dengan cara itu, otak kita mampu berehat dan kembali pada keadaan optimum sebelum diguna semula.

Apabila kita hanya ada masa selama 20 minit, kita perlu merancang sesuatu agar kita tidak putus idea semasa berehat.

2. Rancang Karya Dengan Peluru Isi

Inilah rahsia menulis dalam kotak 20 minit. Kita merancang terlebih dahulu segala isi-isi yang ingin ditulis.

Lebih mudah jika isi tersebut ditulis dalam bentuk Bullet Point. Ringkas dan padat.

Pilih satu masa untuk mengumpul semua bahan yang telah kita kaji untuk karya kita dan susun semua isi-isi yang ingin disampaikan dalam satu fail. Pastikan letak rujukan bahan kajian untuk memudahkan rujukan semasa sesi menulis.

Berapa lama masa untuk tulis isi-isi penting ini? Boleh gunakan kotak masa 20 minit yang telah kita tetapkan di atas.

3. Tulis dengan Mulut

Perkara yang menyukarkan penulis baru adalah kita terikut-ikut dengan gaya penulisan semasa menjawab kertas Bahasa Melayu semasa SPM.

Guru telah tebuk kepala kita dengan mitos penulisan paling besar: “Tulis menggunakan perkataan bombastik dan kompleks lebih bagus daripada ayat dialog”.

Itu mitos yang sangat besar!

Gaya penulisan yang paling berpengaruh, mudah pembaca hadam dan mudah lagi ditulis adalah penulisan dengan gaya dialog.

Kita tulis seperti mana kita bercakap dengan rakan sepejabat.

Saya sendiri pernah merakam sesi sembang dan menaip semula perbualan tersebut untuk dijadikan bahan mentah karya.

Jika malas menulis panjang dan meleret, buat tips di atas, tulis semua isi yang ingin disampaikan kemudian rakam ucapan anda, Bayangkan anda sedang berdiri di hadapan kelas dan sedang berkongsi dengan audiens tentang isi tersebut. Hasil rakaman tersebut dihantar kepada orang muda yang banyak masa. Minta mereka tulis semula rakaman tersebut dengan bayaran yang sesuai. Saya pernah bayar upah sekitar RM1 untuk setiap minit rakaman.

4. Abaikan Keindahan

Ya, untuk menulis karya yang indah, jangan tulis indah-indah. Ironi tetapi itulah yang kerap berlaku.

Menulis terbahagi kepada 3 fasa yang besar:

  1. Kajian
  2. Bahan Mentah
  3. Edit

Fasa kajian hanya memerlukan kita menulis isi dalam bentuk bullet point

Fasa Bahan Mentah adalah fasa kita mengembangkan isi bullet point tadi menjadi perenggan dan karangan

Fasa Edit adalah fasa kita membaca semula dan mencantikkan tulisan mentah menjadi lebih cantik.

Maka, semasa fasa tulisan mentah, teruskan menulis dan abaikan prosa indah, kesalahan tatabahasa dan juga kesalahan ejaan. Terus menulis seperti keretapi yang kerosakan brek.

Jalan terus.

5. Penat Menulis? Baca dan Tapis

Ada masanya kita akan berasa penat semasa meluahkan tulisan mentah. Jika terlalu penat kita boleh berhenti sebentar.

Kita boleh menjadi produktif pada senggang masa rehat ini.

Baca bahan-bahan kajian, website yang telah di bookmark atau halaman wikipedia untuk mencari maklumat baru. Kumpulkan maklumat tersebut dalam folder bahan kajian untuk kegunaan di masa hadapan.

Setelah hilang penat bolehlah kita sambung sesi menulis 20 minit yang seterusnya.