Kita semua pernah menjadi penulis. Kenapa apabila kita besar kita katakan kita tidak pandai menulis?

Sejak sekolah, bermula dengan mengenal huruf lagi kita sudahpun menulis. Semasa sekolah rendah, kita sudah diajarkan oleh guru mengenai teknik menulis karangan yang lengkap dengan pendahuluan, isi penting dan penutup.

Tanpa jemu, setiap hari guru memberitahu kita cara-cara menggali isi penting daripada pelbagai sumber sekunder seperti majalah, akhbar dan buku.

Sebab itu, saya tidak mahu menyentuh isu teknik ini. Saya lebih suka mahu bincangkan isu lain iaitu mencari identity sebagai penulis.

Alhamdulillah, Tuhan rezekikan saya menemui tulisan Sally O’ Reilly, seorang jurnalis dan penulis yang mempunyai PhD. Beliau juga adalah seorang penulis cerpen dan tulisannya disenarai pendek bagi anugerah Cosmopolitan (kategori cerpen).

Menurut Sally, terdapat empat kategori penulis :

1. Professional

Golongan yang jelas dengan tujuan dan matlamat sebagai penulis. Penulis yang berada dalam kumpulan ini memiliki kefahaman idealistik dalam menempatkan penulisan itu sebagai matlamat. Mereka juga bersikap realistik dan tahu yang memilih kerjaya ini ada cabaran sendiri yang perlu didepani.

Dengan mengetahui hal ini, penulis tahu menyeimbangkan penulisan dan bersikap matang dalam mengekalkan tenaga dan motivasi supaya ia bertahan bertahun-tahun dan bukan berputus asa selepas beberapa bulan.

Mereka tidak memberontak atau bersikap tidak-tidak dengan mana-mana pihak seperti bergaduh mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan pergaduhan terbuka. Penulis professional juga tidak meletakkan sasaran yang tidak realistik.

Jika dikaitkan dengan persamaan kejayaan (hyperlink kepada artikel persamaan kejayaan), penulis ini adalah golongan yang menguasai keempat-empat faktor iaitu sasaran pembaca, kualiti, kebolehcarian dan pengeluaran.

2. Anorak

Kumpulan penulis yang masih samar dengan tujuan dan genre yang mahu ditulis. Penulis yang berada dalam kategori ini adalah kategori penulis yang terlalu berhati-hati dengan apa yang mahu disampaikan. Mereka terlalu memikirkan soal ‘bagaimana’ dalam menghasilkan karya sehingga ia mengganggu momentum penulisan manuskrip itu sendiri.

Akibat asyik menjadikan semua perkara rumit, penulis jarang dapat menyudahkan manuskrip sendiri. Semua persoalan yang dihimpunkan itu mengganggu kelancaran idea penulisan walaupun pada ketika penulis sudah mempunyai rangka karya yang lengkap.

Sebab itu, kebanyakan penulis yang sudah berjaya akan menyatakan, “Tulis dahulu sehingga siap,” sebagai TIP PENTING dalam penghasilan sesebuah karya.

Jadi, walaupun menghasilkan karya berkualiti dan banyak, penulis dalam kategori ini masih bereksperimen dengan sasaran pembaca sehingga menyukarkan kebolehcarian karya mereka disebabkan ia belum mempunyai USP khusus.

Tetapi, ada juga penulis yang gemar bereksperimen dan menulis dalam pelbagai genre menggunakan nama pena berbeza.

3. Penggemar seni (The Dilettante)

Kumpulan yang menghargai seni lalu menjadikan aktiviti penulisan sebagai hobi. Penulis yang berada di dalam kategori ini adalah golongan yang tidak suka tekanan seperti mengejar deadline penghantaran dan penerbitan karya. Seringkali, mereka merasakan deadline adalah faktor besar yang menekan sehingga idea tidak dapat mengalir.

Golongan ini memilih mencari dan duduk dengan tenang dan menulis apabila inspirasi muncul. Mereka mahu terus menikmati hasil penulisan sebagai karya seni dan tidak mahu hal ini punca keseronokan ini terganggu.

Biasanya, penulis dalam kategori ini mempunyai kantung duit yang bukan dari aktiviti penulisan dan mereka tidak bercadang mahu menjadi penulis sepenuh masa.

4. Pengkhayal

Kumpulan individu yang berhasrat menjadi penulis dan menyimpan impian di dalam fikiran.

Biasa mendengar ayat-ayat ini?

“Saya pun mahu menulis.”

“Saya minat menulis.”

“Saya ada idea menarik, yang jika ditulis pasti menjadi karya best-seller.”

Kebanyakan individu yang suka membaca mempunyai pemikiran begini. Tidak salah sebab kita memang digalakkan berimaginasi. Bahkan, ia antara keperluan penting dalam kerjaya seorang penulis. Namun,  khayalan dan fantasi ini perlu dikawal.

Seorang penulis tidak akan bergelar penulis KECUALI apabila dia mula menulis apa yang dibayangkan dalam kepala. Jadikan kraf di dalam fikiran kita itu sesuatu yang serius, supaya orang lain akan mula memandang impian kita mahu menjadi penulis itu adalah hal yang serius.

Tiada jalan pintas atau rahsia untuk menjadi penulis berjaya. Setiap penulis akan perlu melalui jalan yang sama; kerja keras dan belajar.

Bak kata Tuan Bahruddin Bekri, “Kita perlu bekerja bagi mengejar impian sendiri atau orang lain mengerjakan kita bagi mencapai impian mereka.”

Jadi, kita di kategori mana? Adakah kita sudah bersedia melompat kategori dan menjadi penulis professional?

Tidak pasti kedudukan diri sendiri? Mari buat ujian ini dan nilai diri kita:

http://www.piatkusbooks.net/do-you-have-what-it-takes-to-be-a-writer/

Nota:

  1. USP ialah Unique Selling Point; faktor unik yang membezakan produk seorang penulis atau usahawan dengan pesaing-pesaingnya. Tuan Syaizul Amal, Pengarah Urusan Blink selalu mengulang hal ini dalam perkongsiannya di Facebook.
  2. Setiap penulis mempunyai keempat-empat ciri ini. Ia menjadikan kita hidup. Seperti hasil tulisan kita, tiada yang sempurna melainkan Tuhan Maha Pencipta.

Yang baik itu daripada Allah. Segala kekurangan dan kesilapan itu adalah daripada kelemahan saya sendiri.

Jom selfie. Mari muhasabah diri.