Penulis secara asasnya tidak perlu ambil tahu kerja-kerja penerbitan. Kita maklum yang penulis kerjanya menulis.

Jika penulis memikir dan melakukan kerja-kerja penerbitan, maka lebih baik penulis tersebut ‘self-publish’. Apa guna penerbit jika penulis yang perlu buat kerja penerbit.

Namun, apabila penulis melalui jalan ‘self-publish’, beliau akan menanggung beban penerbit pula. Beban tersebut adalah ‘menerbitkan buku yang laku keras’.

Penerbit PERLU menerbitkan buku-buku yang laku keras super hot bestseller of the year untuk terus kekal relevan. Untuk penerbit mampu membayar hutang pinjaman bank, membayar sewa ruang kedai, membayar gaji editor dan membayar hutang kepada pencetak.

Apabila penulis ‘self-publish’ buku sendiri, maka beban ‘hanya terbit buku best-seller’ akan turut ditanggungnya bersama-sama dengan beban ‘menyiapkan manuskrip’ dan beban ‘menyunting manuskrip hingga cantik’.

Beban ‘hanya terbit buku best-seller’ menjadi lebih ringan dan mudah dicapai apabila penulis terbit-sendiri tahu 3 rahsia menerbitkan buku yang berkemungkinan besar laku keras. 3 rahsia tersebut ialah:

1) Tahu Siapa Pembaca

Ya, penulis dan penerbit perlu tahu siapakah golongan pembaca yang dapat mereka capai. Ini SANGAT penting. Jika penulis buku novel, beliau harus tahu siapakah pembaca ideal novel tersebut. Remaja-kah? Surirumah-kah? Pegawai-kah?.

Jika penulis buku non-fiksyen pun sama juga. Siapakah Pembaca ideal buku tersebut? Kerani am-kah? Kerani kaunter-kah? Mat Despatch? Perempuan separuh umur yang bekerja di pejabat kerajaan -kah?

Lebih spesifik maka lebih baik. Ini kerana ia akan memudahkan proses penulisan dan juga memudahkan kita menjual buku tersebut selaku penerbit kepada saluran yang betul.

Satu perkara yang perlu diingat:

Buku tidak semestinya dijual di kedai buku.

Ajaib!

2) Tahu di Mana Pembaca Berkumpul

Rahsia kedua adalah kita perlu tahu dimanakah lokasi pembaca ideal kita berkumpul. Ini SANGAT penting. Setelah kita tahu siapakah pembaca ideal kita, kita boleh dapat gambaran lokasi golongan seperti itu berkumpul.

Tidak, ‘gambaran’ sahaja tidak mencukupi. Kita perlu PASTI dimanakah mereka berkumpul.

Cara memastikan juga tidak sukar. Pertama, kita kenalpasti seorang daripada orang sekeliling kita yang tergolong dalam golongan pembaca ideal kita. Jika tiada secara fizikal, boleh cuba juga cari di Facebook dan friend dengan beberapa orang di sana.

Lihat aktiviti mereka. Pasti akan ada aktiviti yang menunjukkan mereka berkumpul sesama mereka.

Contohnya, jika pembaca anda adalah remaja belasan tahun, mereka semua berkumpul di satu tempat yang sama setiap hari tanpa gagal: sekolah.

Contohnya jika pembaca anda adalah suri rumah yang gemar memasak, mereka semua berkumpul di satu tempat yang sama setiap minggu tanpa gagal: kedai barang basah dan pasaraya.

Contohnya jika pembaca anda adalah Mat Despatch, mereka semua berkumpul di satu tempat yang sama setiap hari tanpa gagal: stesen minyak.

Itulah lubuk paling besar yang patut anda sasarkan untuk letak buku anda dan jual.

3) Tahu Berapa Besar Jumlah Pembaca

Yang ketiga dan yang paling kritikal adalah mengetahui berapakah sebenarnya jumlah pembaca anda.

Ini adalah teritori yang bahaya. Tersalah langkah akibatnya buku tidak habis dijual dan terpaksa dijual kepada pusat kitar semula secara timbang kati.

Ini juga tiada satu alat yang mampu memberi satu nombor yang tepat.

Cara paling universal adalah menggunakan teknik statistik yang dipanggil Data Mining. Ini satu topik yang besar dan kompleks dan memerlukan kemahiran yang khusus untuk dikuasai.

Namun, untuk mula menggunakannya dengan berkesan tidak begitu sukar. Hanya sedikit kemahiran bereksperimen (hipotesis -> tesis) dan kemahiran analisis statistik untuk itu.

Contohnya, kita mahu mensasarkan pelajar sekolah. Kita boleh kira jumlah ‘kepala’ pelajar sekolah dengan cara:

Total = Jumlah Sekolah x Purata Pelajar Setiap Sekolah x Conversion Rate

Maka, jika kita tahu jumlah sekolah yang boleh kita capai dan jumlah purata pelajar/sekolah, kita boleh tahu saiz pasaran kita.

Kata kunci di sini adalah ‘Conversion Rate’. Conversion rate bermaksud ‘berapa peratus-kah yang akan beli daripada semua prospek’. Semakin terfokus channel kita semakin tinggi conversion rate tersebut.

Kita akan sentuh teknik Data Mining dengan lebih mendalam dalam artikel-artikel akan datang. Jangan lupa subscribe email dalam borang di bawah sekali untuk terus mengikuti topik ini!